Ya. Dokumen berkaitan tuntutan seperti laporan perubatan atau diagnostik serta nota kemasukan dan discaj perlu dihantar semasa mengemukakan tuntutan.

Sekiranya anda telah mengemukakan tuntutan penyakit kritikal sebelum ini (bagi penyakit kritikal yang didiagnos antara 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2024) dan tuntutan tersebut telah diluluskan, sila ambil maklum bahawa tuntutan penyakit kritikal seterusnya tidak akan dibayar. Ini kerana Manfaat Penyakit Kritikal hanya dibayar sekali seumur hidup bagi setiap Orang yang Dilindungi.

Bagi penerima Skim mySalam tahun 2025, tarikh tutup penghantaran tuntutan adalah 30 Jun 2026. Bagi penerima Skim mySalam tahun 2026, tarikh tutup bagi penghantaran tuntutan adalah 30 Jun 2027.

Sekiranya anda mempunyai keadaan sedia ada sebelum 1 Januari 2025, anda masih boleh membuat tuntutan Hospitalisasi atau Penyakit Kritikal, tertakluk kepada terma berikut:

(i) Manfaat Hospitalisasi - Tuntutan boleh dihantar sekiranya anda dimasukkan ke wad pada atau selepas 1 Januari 2025.

(ii) Manfaat Penyakit Kritikal - Tuntutan boleh dihantar sekiranya keadaan sedia ada tidak mencapai peringkat yang lebih teruk seperti yang ditakrifkan dalam definisi penyakit kritikal Skim mySalam sebelum 1 Januari 2025. Sila rujuk definisi bagi Penyakit Kritikal Skim mySalam untuk maklumat lanjut.

Contoh ilustrasi:

Contoh 1

Encik A mengalami serangan sakit jantung pada tahun 2023. Beliau tidak boleh membuat tuntutan untuk kejadian ini kerana berlaku sebelum 1 Januari 2025.

Pada Februari 2025, Encik A sekali lagi mengalami serangan sakit jantung. Oleh kerana serangan kedua berlaku selepas 1 Januari 2025, beliau layak menuntut RM8,000 di bawah Manfaat Penyakit Kritikal, tertakluk kepada tiada tuntutan penyakit kritikal telah dibayar bagi tahun perlindungan antara 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2024.

Contoh 2

Encik B telah didiagnos dengan Penyakit Parkinson peringkat awal pada tahun 2024, tetapi masih mampu meneruskan aktiviti hariannya. Keadaannya menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan kemerosotan fungsi secara berperingkat.

Pada Mac 2025, Encik B menerima pengesahan diagnosis daripada pakar neurologi bahawa beliau mengalami ketidakmampuan kekal untuk melakukan aktiviti asas seperti makan, mandi dan bergerak tanpa bantuan orang lain dan keadaan beliau tidak boleh dikawal dengan ubat.

Dalam kes ini, Encik B layak membuat tuntutan sebanyak RM8,000 di bawah Manfaat Penyakit Kritikal bagi tahun 2025 dan seterusnya.

Contoh 3

Cik C telah didiagnos dengan Karsinoma-in-situ di payudara pada tahun 2024. Beliau tidak layak membuat tuntutan kerana Karsinoma-in-situ tidak tersenarai sebagai salah satu Penyakit Kritikal Skim mySalam.

Pada Mac 2025, doktor mengesahkan bahawa keadaan Cik C telah berubah menjadi Kanser Payudara Tahap 3.

Dalam kes ini, Cik C layak membuat tuntutan berjumlah RM8,000 di bawah Manfaat Penyakit Kritikal bagi tahun 2025 dan seterusnya.

Manfaat Penyakit Kritikal hanya dibayar sekali seumur hidup. Penerima Skim mySalam bagi tahun 2025 dan seterusnya yang layak menerima Skim mySalam antara tahun 2019 hingga 2024 dan telah menerima pembayaran RM8,000 bagi tuntutan penyakit kritikal tidak boleh menghantar tuntutan penyakit kritikal lagi. Tiada pembayaran tambahan yang akan dibuat bagi Manfaat Penyakit Kritikal.

Contoh

Encik A layak menerima Skim mySalam bagi tahun 2022, 2023, 2024 dan 2025. Beliau telah didiagnos dengan kegagalan buah pinggang pada Mei 2023. Beliau telah menghantar tuntutan berjumlah RM8,000 di bawah Manfaat Penyakit Kritikal kepada Skim mySalam dan manfaat tersebut telah dibayar ke akaun bank Encik A.

Sekiranya pada tahun seterusnya beliau mengalami serangan jantung (atau mana-mana penyakit kritikal lain yang tersenarai di bawah Penyakit Kritikal Skim mySalam) pada 1 Januari 2025, beliau tidak boleh membuat tuntutan bagi Manfaat Penyakit Kritikal. Ini kerana manfaat ini hanya boleh dibayar sekali sahaja seumur hidup bagi setiap penerima Skim mySalam.

Ya. Manfaat Hospitalisasi dihadkan kepada 14 hari setahun. Jumlah Manfaat Hospitalisasi harian adalah RM50 sehari, dengan maksimum RM700 setahun dan had ini akan diperbaharui pada setiap tahun perlindungan.

Contoh

Encik A telah membuat tuntutan Manfaat Hospitalisasi sehingga 14 hari pada tahun 2025 dan telah menerima bayaran penuh RM700.

Pada tahun 2026, beliau dimasukkan ke hospital selama 14 hari. Beliau boleh membuat tuntutan sekali lagi dan akan menerima bayaran sehingga RM700 di bawah Manfaat Hospitalisasi bagi tahun 2026.

Sila rujuk cara-cara untuk membuat tuntutan di bawah:

i. Tuntutan Penyakit Kritikal


Langkah 1: Layari www.mysalam.com.my dan log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan (No. KP) dan kata laluan yang dihantar kepada anda melalui SMS (atau kata laluan terkini yang anda telah tetapkan).

Langkah 2: Klik pada Muat Turun Borang dan muat turun borang 'Penyakit Kritikal - Kenyataan Doktor', berdasarkan jenis penyakit kritikal.

Langkah 3: Dapatkan doktor atau pakar yang merawat untuk melengkapkan borang 'Penyakit Kritikal ? Kenyataan Doktor'.

Langkah 4: Log masuk ke www.mysalam.com.my dan klik pada ikon Tuntutan, diikuti dengan ikon Penyerahan Tuntutan. Kemudian, skrol ke bawah dan klik pada ikon Tuntutan Penyakit Kritikal.

Langkah 5: Masukkan maklumat yang diperlukan dan klik butang Muat Naik untuk memuat naik lampiran* dibawah. Seterusnya, klik butang Lampirkan.

  a) Salinan Kad Pengenalan - (depan dan belakang)
  b) Borang Penyakit Kritikal - Kenyataan Doktor

Langkah 6: Klik butang Hantar untuk melengkapkan proses penyerahan tuntutan.


ii. Tuntutan Hospitalisasi


Langkah 1: Layari www.mysalam.com.my dan log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan (No. KP) dan kata laluan yang dihantar kepada anda melalui SMS (atau kata laluan terkini yang anda telah tetapkan).

Langkah 2: Klik ikon Tuntutan, diikuti dengan ikon Penyerahan Tuntutan. Skrol ke bawah laman web dan klik ikon Tuntutan Hospitalisasi.

Langkah 3: Masukkan maklumat yang diperlukan, klik butang Muat Naik untuk memuat naik lampiran* seperti di bawah. Seterusnya klik butang Lampirkan.

  a) Salinan kad pengenalan ? (depan dan belakang)
  b) Salinan nota discaj

Langkah 4: Klik butang Hantar untuk melengkapkan proses penyerahan tuntutan.


*Semua lampiran yang diperlukan hendaklah dimuat naik dalam format PDF atau JPEG.

Anggaran masa untuk memproses tuntutan Manfaat Hospitalisasi dan Manfaat Penyakit Kritikal adalah sepuluh (10) hari bekerja selepas menerima lampiran tuntutan yang lengkap.

Sekiranya lampiran atau maklumat yang diterima tidak lengkap, proses semakan akan mengambil masa lebih lama sehingga semua dokumen yang diperlukan diterima.

i) Manfaat Hospitalisasi - Skim ini hanya merangkumi semua Hospital Kerajaan Malaysia, hospital universiti dan hospital angkatan tentera yang disenaraikan di portal Skim mySalam.

ii) Manfaat Penyakit Kritikal - Sekiranya penyakit kritikal didiagnos di hospital swasta atau hospital selain daripada hospital panel, tetapi rawatan susulan dibuat di hospital panel Skim mySalam, tuntutan masih boleh dibuat dengan syarat borang 'Penyakit Kritikal - Kenyataan Doktor' dilengkapkan oleh doktor yang merawat di hospital panel.

Ya, anda akan dibayar sebanyak RM50 sehari bagi kemasukan ke wad di mana-mana hospital panel, kecuali jika keadaan tersebut termasuk dalam senarai pengecualian yang dinyatakan di sini.

Elaun Hospitalisasi sebanyak RM50 sehari hanya akan dibayar sekiranya anda bermalam sekurang-kurangnya satu (1) malam di wad hospital. Tarikh keluar wad mestilah selepas tarikh masuk wad.

Bermalam di Unit Kecemasan tidak dikira sebagai pesakit dalam kerana ia dikategorikan sebagai rawatan pesakit luar.

Contoh 1

Cik A dimasukkan ke wad pada 1 Januari 2026 dan keluar pada hari yang sama. Tiada elaun hospitalisasi dibayar bagi situasi ini.

Contoh 2

Cik B dimasukkan ke wad pada 1 Januari 2026 dan keluar pada 3 Januari 2026. Elaun hospitalisasi dibayar untuk 2 hari, berjumlah RM100, tertakluk kepada terma dan syarat Skim mySalam.

Contoh 3

Cik C dimasukkan ke Unit Kecemasan pada 1 Januari 2026, kemudian dipindahkan ke wad pada 2 Januari 2026 dan keluar pada 3 Januari 2026.

Elaun hospitalisasi dibayar untuk 1 hari sahaja, berjumlah RM50. Kemasukan ke Unit Kecemasan tidak dikira sebagai pesakit dalam.

Had lampiran yang ditetapkan ialah empat (4) lampiran pada ruangan Kad Pengenalan dan sepuluh (10) lampiran pada ruangan Lampiran.

Lampiran yang telah dihantar melalui portal tidak dapat dipadamkan atau digantikan.

Sekiranya anda telah mencapai had maksimum, sila hantar lampiran tambahan melalui tuntutan baharu di portal.

Untuk bantuan lanjut, sila emel kepada info@mysalam.com.my dengan menggunakan nombor tuntutan sebagai subjek emel.

Tidak. Pembayaran tuntutan Skim mySalam hanya akan dibuat ke akaun bank milik penerima Skim mySalam sahaja.

Arahan pembayaran ke akaun bank pihak ketiga akan ditolak oleh pihak bank.

Contoh

Encik A telah mengemas kini nombor akaun pasangannya, Puan M, semasa membuat tuntutan kepada Skim mySalam. Tuntutan Skim mySalam Encik A yang telah diluluskan tidak akan dibayar ke akaun Puan M. Pembayaran hanya boleh dibuat ke akaun milik Encik A sahaja.

Oleh itu, Encik A perlu log masuk ke portal dan mengemas kini maklumat akaun bank miliknya bagi membolehkan pembayaran diproses.

Ya, bergantung kepada jenis manfaat berikut:

i) Manfaat Hospitalisasi - Mereka yang dimasukkan ke wad disebabkan jangkitan Covid-19 boleh menuntut elaun hospitalisasi sebanyak RM50 sehari, terhad kepada 14 hari/RM700 setahun.

Nota: Penerima Skim mySalam perlu bermalam di wad untuk layak menerima manfaat ini. Rawatan tanpa bermalam di hospital panel tidak akan dibayar.

ii) Manfaat Penyakit Kritikal - Komplikasi yang berpunca daripada jangkitan COVID-19 dan mengakibatkan salah satu daripada Penyakit Kritikal Skim mySalam boleh dituntut di bawah Manfaat Penyakit Kritikal.

Anda perlu log masuk ke portal Skim mySalam untuk memuat turun borang tersebut. Terdapat dua belas (12) jenis borang berbeza yang boleh dimuat turun di portal. Sila pilih borang mengikut kumpulan penyakit kritikal, seperti yang disenaraikan di sini.

Maklumat wajib yang diperlukan boleh didapati di sini.

Sila pastikan Surat Discaj lengkap dengan maklumat yang diperlukan bagi mempercepatkan proses semakan tuntutan.

Sila rujuk langkah-langkah di bawah untuk menyemak tuntutan yang tidak lengkap:

Langkah 1: Layari www.mysalam.com.my dan log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan (No. KP) dan kata laluan yang dihantar kepada anda melalui SMS (atau kata laluan terkini yang anda telah tetapkan).



Langkah 2: Klik pada ikon Tuntutan, diikuti dengan ikon Status Tuntutan





Langkah 3: Klik pada Nombor Tuntutan yang berstatus Dokumen Sokongan Diperlukan.



Langkah 4: Sila rujuk ke ruang Catatan bagi menyemak lampiran dokumen/maklumat tambahan yang diperlukan.



Langkah 5: Klik pada butang Choose File untuk memuat naik dokumen/maklumat tambahan lengkap yang diperlukan. (format *.pdf or *.jpeg).



Langkah 6: Setelah dokumen tambahan dimuat naik, klik butang Lampirkan.

5 Penyakit Kritikal Skim mySalam yang baru ditambah, iaitu Penyakit Rheumatoid, Penyakit Kulit Kronik, Penyakit Darah, Penyakit Mental dan Penyakit Jarang Jumpa, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Oleh itu, manfaat ini hanya layak untuk mereka yang:

  • didiagnosis dengan penyakit kritikal ini pada 1 Januari 2025 dan seterusnya; dan
  • belum pernah membuat tuntutan untuk Manfaat Penyakit Kritikal Skim mySalam sebelum ini.