Image placeholder

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Skim Perlindungan Takaful B40 mySalam ini dirangka untuk beroperasi selama 5 tahun, iaitu bermula dari tahun 2019 sehingga tahun 2023. Disebabkan maklum balas rakyat Malaysia yang memberansangkan terhadap skim mySalam, pihak kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan skim ini sehingga tahun 2025.

Skim ini menawarkan perlindungan Takaful asas yang merangkumi 2 jenis manfaat, iaitu;


1. Manfaat Hospitalisasi

Sekiranya penerima mySalam dimasukkan ke wad hospital kerajaan, hospital universiti, dan hospital angkatan tentera, penerima mySalam layak untuk menuntut pendapatan gantian sebanyak RM 50 sehari, terhad kepada 14 hari atau RM 700 setahun.

Nota : Penerima mySalam perlu bermalam di wad untuk layak menuntut manfaat ini.


2. Manfaat Penyakit Kritikal

Sekiranya penerima mySalam disahkan mengidap salah satu daripada 45 jenis penyakit kritikal yang tersenarai di mySalam, ahli mySalam tersebut boleh menuntut manfaat bernilai RM 8,000 dari mySalam yang akan dibayar sepenuhnya ke akaun ahli mySalam sekali seumur hidup.

Kelayakan untuk menjadi ahli mySalam ini adalah sepenuhnya berdasarkan kelayakan dalam Skim Bantuan Tunai Rakyat (BR1M, BSH, BPR, BKM, dan STR) yang dipohon dan diproses melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri pada setiap tahun. Semua penerima Bantuan Tunai Rakyat yang menepati kriteria umur yang ditetapkan akan layak menjadi ahli mySalam secara automatik.

Kriteria umur adalah seperti kategori berikut:

Kategori Berkahwin - Individu berumur antara 18 hingga 65 tahun dan pasangan.

Kategori Bujang - Individu bujang yang berumur 21 hingga 65 tahun.

Kategori OKU - Individu yang berumur 18 hingga 65 tahun.